Sunday, January 23, 2011

Islam Pemangkin Sains

Penghormatan yang Allah berikan kepada golongan yang suka mengkaji alam, sehingga menggelar mereka sebagai ulul albab, begitu signifikan bagi umat Islam. Hal ini adalah rangsangan yang istimewa daripada Allah supaya umat Islam mendekati alam bagi mengkajinya. Dengan itu, ketakwaan mereka kepada Allah akan meningkat. Secara khusus, antara ciri yang terdapat pada ulul albab ialah suka mengkaji dan bertafakur tentang penciptaan langit dan bumi. Pada hari ini golongan yang banyak mengkaji tentang kejadian langit dan bumi adalah pakar-pakar sains dalam bidang astronomi dan astrofizik.Justeru, ayat 190 surah Ali-Imran berhubung ulul albab merangsang umat Islam supaya menjadi saintis.Saintis yang mahu dihasilkan mengikut formula Quran ialah saintis yang mengingati Allah di mana saja dia berada. Bukannya saintis yang ateis (tidak bertuhan).

Quran sememangya mahu umat Islam memiliki minda yang sainifik. Minda yang saintifik adalah minda yang kuat berfikir, kritikal, mampu menganalisis data dan fakta serta mampu membuat andaian dan kemudiannya konklusi kepada apa yang dicerap. Minda saintifik menolak sebarang laporan dan pandangan yang tidak berlapikkan bukti dan dalil.

Sebenarnya minda seperti inilah yang mahu dilahirkan oleh Islam kerana Islam mneyuruh umatnya supaya tidak mengikut sesuatu yang tidak bersandarkan bukti dan dalil. Dalam surah Al-Israk ayat 36 Allah menyatakan "Janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya".

Berhubung dengan ayat ini, Syed Qutub berkata dalam Fi Zilal al-Quran "Janganlah kamu mengikut sesuatu tanpa berpandukan ilmu yang meyakinkan dan janganlah mengikut sesuatu yang tidak terbukti kesahihannya".

No comments:

Post a Comment