Tuesday, December 27, 2011

long time no see..

hye guys, sorry coz i dont update my blog 4 a long time..i really forgot about my blog and i thought my blog wouldn't have so much response..thanx to all of u..

now im studying in kedah..study hotel management..really nice course..u wouldn't regret if learn it..well, depend on that person lol :D

this week we dont have any class perhaps because i also dont have the schedule..thanx to stupid student portal coz still dont active my portal..huh!!

well, it is nice to be back..may God bless u all..daa.. :)

Monday, March 7, 2011

Kegelapan Yang Tiga

Keselamatan janin dalam rahim dijamin oleh Allah. Dalam surah az-Zumar ayat 6 Allah berfirman, "Dia menjadikan kamu di dalam rahim ibumu kejadian demi kejadian dalam kegelapan yang tiga". Dalam kitab kitab al-asas fi at-tafsir oleh Said Hawa disebutkan "Kegelapan yang tiga adalah kegelapan yang berkaitan dengan abdomen, rahim dan uri." Pendapat ini dinukilkan oleh Ibn Kathir daripada Abdullah bin Abbas, Mujahid dan Ikrimah. Pendapat ini menarik kerana perkataan-perkataan 'kegelapan yang tiga' tidak ditafsirkan dalam bentuk yang abstrak malah dikaitkan dengan fizikal manusia yang dapat difahami secara umumnya.

Kedudukan janin dalam 'kegelapan yang tiga' selari dengan penemuan sains moden. Profesor Keith L.Moore, Ph.D, F.I.A.C, pakar dalam bidang bidang anatomi manusia dari Universiti Toronto, Kanada, berpendapat janin memang hidup dalam tiga tutupan atau kegelapan. Tutupan pertama ialah kulit abdomen, kedua ialah dinding rahim dan yang ketiga ialah selaput yang menutupi janin secara langsung. Hal ini dilaporkan dalam The journal of the Islamic Medical Association (1986), Volume 18, bulan Januari-Jun.

Kesemua kenyataan Quran ini mengagumkan kerana mengikut sejarah, hanya selepas mikroskop dicipta pada abad ke 17 oleh Leeuwenhoek sahaja, kajian mendalam berkenaan proses kejadian bayi dapat dilakukan. Namun kefahaman yang betul dan terperinci berkenaan tahap-tahap kejadian ini hanya diketahui pada abad ke 20 oleh Streeter pada tahun 1941 dan kemudiannya dilengkapkan oleh O'Rahilly pada tahun 1972. Hal ini dilaporkan dalam The journal of the Islamic Medical Association (1986), volume 18, oleh Prof. Keith Moore. Justeru, apabila Quran menjelaskan terperinci tentang proses perkembangan embrio lebih dari 1,400 tahun dahulu semasa tidak ada manusia yang mampu mengetahui tentangnya, hal ini membuktikan dengan jelas Quran adalah wahyu daripada Allah.

Saturday, March 5, 2011

Khasiat Buah Tamar

Buah tamar merupakan antara buah yang kaya dengan pelbagai khasiat. Buah tamar adalah makanan yang penting bagi nabi dan keluarga baginda. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim, Aisyah berkata, "Ada ketikanya dapur rumah kami tidak berasap selama sebulan. Yang ada (untuk dijadikan makanan) hanyalah buah tamar dan air. Melainkan kadangkala diberikan kepada kami sedikit daging."

Dalam riwayat lain Bukhari dan Muslim meriwayatkan, Abdullah bin Jaafar berkata, "Saya melihat Rasulullah memakan tamar basah dan sayur dari jenis mentimun."

Pada bulan ramadan umat Islam digalakkan berbuka puasa dengan buah tamar. Abu Daud, Tirmizi, Ahmad dan Ibnu Majah meriwayatkan kata nabi yang bermaksud, "Apabila seseorang berbuka puasa, berbukalah dengan buah tamar. Apabila dia tidak memperoleh buah tamar, berbukalah dengan air kerana air itu pembersih."

Mengikut satu kajian yang dilakukan oleh al-Shahib, w and Marshall, RJ bertajuk The Fruit Of The Date Palm: Its Possible Use As The Best Food For The Future, buah tamar boleh menjadi makanan yang ideal pada masa depan. Buah tamar mengandugi 15 jenis garam dan mineral, kaya dengan vitamin, mempunyaikadar karbohidrat yang tinggi iaitu 44-88%,  kadar serat antara 6.4-11.5%, kadar protein antara 2.3-5.6%, kadar lemak antara 0.2-0.5% dan minyak antara 0.2-0.5%. Protein buah tamar dibina daripada 23 jenis asid amino, sebahagiannya tidak ditemui dalam buah-buahan yang popular seperti oren, epal dan pisang. Antara mineral yang terdapat dalam tamar ialah kalium (potassium), boron, kalsium, kobalt, besi, magnesium, mengenes, fosforus, natrium (sodium), zink dan fluorin. Fluorin ialah mineral yang membantu meningkatkan kesihatan gigi. Di samping itu, buah tamar juga mengandungi selenium, sejenis bahan yang diperlukan oleh sistem pertahanan badan, yang mampu mencegah kanser. Berhubung dengan vitamin, antara vitamin yang terdapat dalam buah tamar adalah vitamin C, B1, B2, asid nikotinik dan vitamin A. Justeru buah tamar dapat dianggap sebagai makanan yang ideal kerana mengandungi pelbagai khasiat yang bermanfaat untuk kesihatan manusia. Penemuan ini dilaporkan dalam International Journal of Food and Science Nutrition, 54(4): 247-259.

Di laman web Pertubuhan Pemakanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu, bawah tajuk Origin,Geographical Distribution And Nutritional Values of Date Palm oleh A.Zaid dan P.F de Wet, dilaporkan pula bahawa buah tamar merupakan makanan yang amat berkhasiat. Mengikut Genske dan Weers (1973), satu kilogram isi buah tamar (contohnya daripada jenis Deglet Noor), mengandungi 220 gm air, 730 gm bersamaan dengan 2740 kalori gula, 22 gm protein, 2 gm lemak, 19 gm zat-zat logam, 6480 mg kalium, 630 mg fosforus, 590 mg kalsium, 580 mg magnesium, 30 mg zat besi, 10 mg natrium, 500 unit vitamin A, 0.9 mg vitamin B1, 1 mg vitamin b2 dan 22 mg vitamin B7. Di samping itu, buah tamar juga mengandungi silikon, klorin dan sulfur dengan kadar yang sederhana,

Gula yang terdapat dalam buah tamar kebanyakannya adalah daripada kumpulan glukosa dan fruktosa. Gula daripada kumpulan ini dikenali sebagai invert sugars dan antara kelebihannya ialah diserap masuk ke dalam badan dengan segera tanpa melalui proses penghadaman seperti mana yang terpaksa dilalui oleh jenis gula yang lain. Tambahan pula, kadar magnesiumnya yang tinggi mampu mencegah kanser justeru pakar-pakar mendapati penduduk-penduduk di kawasan Sahara jarang menghidap kanser kerana mereka banyak memakan buah tamar. Fakta-fakta ini dilaporkan di http://www.fao.org/.

-sumber daripada buku Quran Saintifik, Dr Danial Zainal Abidin.

Friday, March 4, 2011

Wujudkah Hidupan di Kosmos?

Antara persoalan yang menghantui para saintis pada hari ini ialah tentang sama ada wujudnya hidupan di angkasa raya ataupun tidak. Hingga ke hari ini kajian dan penyelidikan tentangnya masih lagi berterusan tanpa sebarang kepastian. Mengikut Agensi Angakasa Lepas Eropah, bermula abad ke 21 ini negara-negara di Eropah mempergiatkan lagi usaha bagi mencari tanda-tanda hidupan di luar bumi, terutamanya di sistem suria. Bagi mencapai tujuan ini kapal-kapal angkasa bernama Rosetta dan Mars Express dilancarkan. Hal ini dilaporkan di http://sci2.esa.int/specialevents/lifeuniverse/index.html di bawah tajuk Europe Joins The Search For Life Elsewhere In The Universe.

Umat Islam bertuah kerana lebih daripada 1,400 tahun dahulu Quran memberi jawapan kepada persoalan ini. Dalam surah As-Syurak ayat 29 Allah berfirman "Dan antara tanda (kekuasaan Allah) ailah penciptaan langit dan bumi dan makhluk-makhluk yang melata yang bertebaran pada kedua-duanya. Dia Maha Berkuasa mengumpulkan semuanya apabila dkehendakinya."

Ayat ini menunjukkan terdapat 'makhluk-makhluk yang melata' di langit dan di bumi. 'Makhluk-makhluk yang melata' ini Allah istilahkan sebagai daabbah dalam Quran. Mengikut Hans Wehr: A Dictionary of Modern Written Arabic, perkataan daabbah bermaksud 'haiwan'.

Hamka, dalam Tafsir al-Azhar, mentafsirkan daabbah sebagai 'segala yang hidup, merangkak, merayap dan berjalan kaki'. Bagi Hamka ayat ini menunjukkan wujudnya hidupan di luar bumi. Beliau berkata, "Binatang yang melata bukan wujud di bumi sahaja, tetapi juga wujud di langit. Tegasnya (wujud) di bintang-bintang lain".

Said Hawa pula, dalam al-Asas fi al-Tafsir, mempunyai dua pandangan berhubung ayat ini. Pertamanya beliau tidak menafikan ayat ini mungkin mengisyaratkan tentang wujudnya hidupan di kosmos. Walau bagaimanapun ayat ini boleh juga membawa maksud di bumi sudah ada hidupannya dalam bentuk manusia, jin dan pelbagai jenis haiwan dan di langit juga sudah ada hidupannya dalam bentuk para malaikat. Kesemuanya sudah pun bertebaran di langit dan di bumi. mengekit ketetapan Illahi. Pendapat yang kedua ini adalah selari dengan tafsiran yang dibuat oleh Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim. Namun, secara dasarnya, berpandukan ayat ini, Islam tidak menolak kemungkinan wujudnya hidupan di luar bumi sama ada di sistem suria ataupun kosmos secara umumnya.

Dalam BBC News bertarikh 19 Februari 2006, bawah tajuk Top Stars Picked In Alien Search, Paul Rincon melaporkan, pakar astronomi, Margaret Turnbull, daripada Carnegie Institution di Washington, Amerika, mengenal pasti 5 bintang yang mungkin mengandungi hidupan di atasnya. Kelima-lima bintang itu adalah Beta CVn (di gugusan Canes Venatici), HD 10307, HD 211 415, 18 Sco (di gugusan Scorpio) dan 51 Pegasus.

Thursday, March 3, 2011

Matahari dan Akhir Hayatnya

Matahari juga adalah bintang. Kejadiannya bermula lebih kurang 8 hingga 10 billion tahun selepas berlaku big bang, iaitu lebih kurang 5 billion tahun dahhulu. Matahari adalah 109 kali lebih besar daripada bumi dan berkemungkinan besar, mataharri lahir kesan daripada gelombang kosmik yang berlaku selepas meledaknya sebuah bintang raksasa.Ledakan bintang besar ini dipanggil supernova dan ia melahirkan gumpalan gas yang dikenali sebagai solar nebula. Solar nebula mengandungi 98 peratus hidrogen dan helium, dan 2 peratus unsur-unsur lain yang terhasil daripada proses kehancuran bintang-bintang di kosmo.

Matahari, yang mengandungi 74 peratus hidrogen dan 25 peratus helium, berada di tengah-tengah sistem suria dan para saintis menganggapnya sebagai bintang generasi ketiga. Bumi, planet-planet, asteroid, meteoroid dan komet mengelilingi matahari mengikut masa yang Allah tetapkan.

Jarak antara matahari dan bumi adalah 93,026,724 batu bersamaan dengan 149,680,000 kilometer. Setiap tahun, bumi berada pada jarak paling dekat dengan matahari lebih kurang pada tanggal 2 Januari dengan jarak 91.4 juta batu atau 147.1 juta kilometer, dan berada pada jarak yang paling jauh daripada matahari iaitu 94.8 juta batu atau 152.6 juta kilometer, lebih kurang pada tanggal 2 Julai setiap tahun.

Proses nuklear yang berlaku dalam matahari melahirkan cahaya matahari. Cahaya ini diibaratkan sperti nadi kehidupan bagi bumi kerana hampir kesemua jenis hidupan di bumi ini memerlukannya dan memanfaatkannya melalui proses fotosintesis.

Walau bagaimanapun matahari mempunyai jangka hayatnya. Sesetengah saintis meletakkan hayat matahari sebagai 10 billion tahun. Selepas itu matahari akan berkubur. Dalam surah At-Takwir ayat 1 Allah berfirman, "Dan matahari semasa digulung." Perkataan yang penting untuk dibahaskan dalam ayat ini ialah digulung. Rata-ratanya para ulama mentafsirkannya sebagai digulung. Namun sahabat Abdullah bin Abbas mantafsirkannya sebagai 'pergi atau menghilang' dan Imam an-Nasafi mentafsirkannya sebagai 'hilang cahayanya'. Hal ini menjelaskan apabila berlakunya kiamat alam ini seolah-olahnya digulung. Hal ini juga menjelaskan matahari semasa berada di penghujung hayatnya akan kehilangan cahayanya.

Sebenarnya kestabilan matahari, seperti bintang-bintang yang lain, bergantung kepada tenaga yang mampu dihasilkan olehnya. Tenaga ini terhasil melalui proses nuklear yang melibatkan hidrogen bertukar menjadi helium di bahagian dalam matahari. Selepas berbilion tahun dahulu, proses ini akhirnya terhenti disebabkan matahari kehabisan hidrogen dan dengan itu matahari menjadi tidak stabil.

Keadaan ini menyebabkan bahagian dalam matahari menguncup dengan menghasilkan suhu yang tinggi. Selepas masa berlalu suhu di bahagian luar matahari menurun dan dengan itu pudarlah cahayanya. Kedaan ini selari dengan tafsiran Imam Nasafi berhubung perkataan 'hilang cahayanya' dalam ayat Quran yang disebutkan sebelum ini. Akhirnya bahagian luar matahari ini bertukar menjadi gumpalan gas berbentuk asap dan terus terpisah daripada bahagian dalamnya. Dengan lahirnya gumpalan gas berbentuk asap ini terjadilah planetery nebula. Bahagian dalam matahari pula bertukar menjadi objek yamg dikenali sebagai 'si kenit putih'. Dengan itu tamatlah riwayat hidup matahari.

-sumber daripada buku Quran Saintifik, Dr Danial Zainal Abidin.

Klip dokumentari Al Quran dan Sains

Bahaya Stunning

Mengikut kajian terkini yang dilakukan oleh Texas A&M University dan Canada's Food Inspection Agency, penggunaan pistol bagi menembak besi ke kepala haiwan diikuti dengan tindakan mengenakan kepada otak itu tekanan setinngi 150 paun, menyebabkan otak haiwan pecah berkecai dalam badan. Mengikut Leila Corcoran dalam artikelnya Cattle Stun Gun May Heighten Mad Cow Risk yang dilaporkan dalam Reuters News Service bertarikh 25 Julai 1997, keadaan otak yang berkecai ini menjadi penyebab kepada serangan penyakit lembu gila yang sering berlaku pada hari ini.

Berhubung dengan ini Dr Abdul Majid Katme dalam pembentangannya berkata, "Mengikut laporan daripada Lawton pada tahun 1971, terdapat haiwan yang mati selepas ditembak. Ujian yang dilakukan oleh Temple Grandin pada tahun 1980 menunjukkan tembakan menggunakan CBP yang menusuk ke dalam otak sebenarnya pembunuh haiwan itu. Maple pula mengatakan pada tahun 1977, CBP perlu dihentikan kerana perbuatan itu menjejaskan kualiti daging haiwan."

Di samping CBP, sebahagian haiwan dikenakan kejutan elektrik ke dalam otak melalui alat tertentu yang dipasang di kiri kanan kepala haiwan. Namun pendekatan ini mempunyai kontroversinya. Mengikut The Royal Society for the Prevention of Cruelty to Animals, "Terdapat bukti-bukti sains yang menunjukkan haiwan yang dikenakan kejutan elektrik ini sedar semula sebelum sembelihan dilakukan."

Berhubung dengan ini, Dr Abdul Majid Katme dalam pembentangannya di Zoological Society of London, Regent's Park, berkata "E.H Callow dalam bukunya Food Hygiene mengatakan haiwan yang dikenakan kejutan elektrik mengalami kelumpuhan tetapi masih sedar dan boleh mengalami kesakitan. Pandangan seperti ini dikongsi oleh Prof. A.C Ivey dari North Western University di America, Prof. M.J Hertz dari Perancis, Prof. Roos dan Koopmans dari Belanda. Mengikut Blackmore pada tahun 1982, perbuatan mengenakan kejutan elektrik secara langsung melalui kepala haiwan adalah satu perbuatan yang kejam."

Sesetengah haiwan pula, seperti itik, ayam dan angsa, dikenakan kejutan elektrik dalam tangki air. Bagi tujuan ini, mengikut laporan yang dibuat oleh FAWC pada tahun 1982, haiwan-haiwan ini digantung melalui kakinya dan kemudiannya kepalanya dicelup ke dalam air bagi menerima kejutan elektrik. Berdasarkan kajian yang dibuat oleh FAWC, satu pertiga daripada haiwan ini mati selepas menerima kejutan dan sepertiga yang lain masih sedar dan merasai kesakitan.

Mengikut Rebecca Smith dalam artikel Sentenced to Death, yang dilaporkan dalam laman web rasmi Vegetarians International Voice for Animals di viva.org.uk, setiap tahun 900 juta binatang ternakan disembelih untuk dimakan di UK. Beliau menjelaskan, undang-undang UK menuntut supaya setiap haiwan melalui satu prosedur yang menyebabkan haiwan pengsan terlebih dahulu sebelum sembelihan dilakukan. Namun, kata Rebecca Smith, "Kami menganalisis kajian-kajian saintifik yang terkini serta mendapat pendapat pelbagai pakar berhubung perkara ini dan kami mendapati apa yang sebenarnya berlaku membimbangkan. Sebenarnya, pendekatan yang dilakukan adalah tidak efektif menyebabkan puluhan juta haiwan berda dalam keadaan sedar semasa sembelihan dilakukan. Setiap tahun lebih kurang 1.8 juta khinzir dan 5 juta kambing biri-biri yang dikenakan kejutan elektrik sedar semula semasa penyembelihan dilakukan. Tambahan itu, terdapat kajian yang menunjukkan penggunaan kejutan elektrik memang tidak berkesan bagi menyebabkan haiwan pengsan. Mengikut seorang pakar, Dr Harold Hillman, haiwan sebenarnya berasa sakit semasa kejutan elektrik dikenakan dan baginya ini merupakan satu bentuk penyeksaan. Berhubung dengan penggunaan pistol berpeluru seperti pengancing besi, setiap tahun penggunaan teknik yang salah menyebabkan 230,000 kambing terpaksa menanggung kesakitan selepas tembakan dilakukan di kepala. Kadangkala tembakan yang kedua terpaksa dilakukan disebabkan tembakan petama gagal menyebabkan kambing-kambing itu pengsan. Kajian juga menunjukkan penggunaan kejutan elektrik melalui tangki air ke atas itik, ayam, ayam belanda dan angsa juga tidak mencapai matlamat yang dkehendaki. Lebih kurang 62 juta daripada binatang ternakan ini sedar semula semasa penyembelihan dilakukan."

Justeru, tidak dapat dinafikan cara penyembelihan Islam jelas berperikemanusiaan lagi saintifik berbanding dengan cara yang lain.

-sumber daripada buku Quran Saintifik, Dr Danial Zainal Abidin.