Monday, March 7, 2011

Kegelapan Yang Tiga

Keselamatan janin dalam rahim dijamin oleh Allah. Dalam surah az-Zumar ayat 6 Allah berfirman, "Dia menjadikan kamu di dalam rahim ibumu kejadian demi kejadian dalam kegelapan yang tiga". Dalam kitab kitab al-asas fi at-tafsir oleh Said Hawa disebutkan "Kegelapan yang tiga adalah kegelapan yang berkaitan dengan abdomen, rahim dan uri." Pendapat ini dinukilkan oleh Ibn Kathir daripada Abdullah bin Abbas, Mujahid dan Ikrimah. Pendapat ini menarik kerana perkataan-perkataan 'kegelapan yang tiga' tidak ditafsirkan dalam bentuk yang abstrak malah dikaitkan dengan fizikal manusia yang dapat difahami secara umumnya.

Kedudukan janin dalam 'kegelapan yang tiga' selari dengan penemuan sains moden. Profesor Keith L.Moore, Ph.D, F.I.A.C, pakar dalam bidang bidang anatomi manusia dari Universiti Toronto, Kanada, berpendapat janin memang hidup dalam tiga tutupan atau kegelapan. Tutupan pertama ialah kulit abdomen, kedua ialah dinding rahim dan yang ketiga ialah selaput yang menutupi janin secara langsung. Hal ini dilaporkan dalam The journal of the Islamic Medical Association (1986), Volume 18, bulan Januari-Jun.

Kesemua kenyataan Quran ini mengagumkan kerana mengikut sejarah, hanya selepas mikroskop dicipta pada abad ke 17 oleh Leeuwenhoek sahaja, kajian mendalam berkenaan proses kejadian bayi dapat dilakukan. Namun kefahaman yang betul dan terperinci berkenaan tahap-tahap kejadian ini hanya diketahui pada abad ke 20 oleh Streeter pada tahun 1941 dan kemudiannya dilengkapkan oleh O'Rahilly pada tahun 1972. Hal ini dilaporkan dalam The journal of the Islamic Medical Association (1986), volume 18, oleh Prof. Keith Moore. Justeru, apabila Quran menjelaskan terperinci tentang proses perkembangan embrio lebih dari 1,400 tahun dahulu semasa tidak ada manusia yang mampu mengetahui tentangnya, hal ini membuktikan dengan jelas Quran adalah wahyu daripada Allah.

No comments:

Post a Comment