Thursday, March 3, 2011

Matlamat dan Metodologi Sains

Dalam Islam, sains mempunyai matlamatnya. Matlamat jangka pendeh adalah mengenali hakikat kejadian alam serta manusia dan memanfaatkan ilmu itu bagi kebaikan semua. Sebagai contoh, melalui sains kita mengetahui seks kromosom lelaki menentukan jantina seseorang bayi, kejadian bayi bermula dengan persenyawaan antara sperma lelaki dan ovum wanita, kejadian bumi berlaku selepas kejadian bintang-bintang di langit dan yang seumpamanya. Namun, akhirnya yang menjadi keutamaan adalah matlamat jangka panjang iaitu mengagungkan dan membesarkan Allah Azza Wajalla.

Perkara ini terserlah dalam surah Al-Mukminun ayat 41 yang bermaksud " Kemudian Kami menjadikan benih nuthfah itu alaqah. Kemudian daripada alaqah Kami jadikan mudghah. Kemudian daripada mudghah Kami jadikan tulang dan Kami tutup tulang itu dengan daging. Kemudian Kami jadikannya makhluk berbentuk lain. Maha Suci Allah, sebaik-baik pencipta." Perhatikanlah ayat ini dengan baik. Selepas Allah menceritakan fasa-fasa kejadian bayi ( dan hal ini dapat disahkan oleh sains ), Allah mengakhiri ayat itu dengan ungkapan, "Maha Suci Allah, sebaik-baik pencipta." Inilah matlamat asasi sains iaitu untuk mengagungkan Allah.

Bagi mencapai matlamat ini, metodologi yang digunakan perlu betul. Sains berkonsepkan tauhid melahirkan metodologi atau pendekatan yang mengambil kira syariat. Kepatuhan kepada syariat tidak menghalang kreativiti dan inovasi kerana kebebasan bagi mengkaji sudah pun diberikan kepada Islam berdasarkan kata nabi yang bermaksud, "Kamu lebih tahu berkenaan usrusan duniamu." Yang dituntut adalah kepatuhan kepada prinsip-prinsip syariat yang akan mencantikkan sains. Sebagai contoh syariat mengutamakan nyawa manusia. Justeru kajian sains dan teknologi yang terhasil daripadanya tidak boleh digunakan bagi memusnahkan nyawa. Syariat juga melarang kemudaratan dilakukan berdasarkan kata nabi seperti yang dilaporkan oleh Imam Malik, Al-Hakim, Baihaqi dan Ibn Majah yang bermaksud, "Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas dengan kemudaratan. "

Islam juga menekankan tentang akhlak. Antara akhlak yang wajib dihayati adalah sikap bertanggungjawab ataupun amanah. Amanah ini melibatkan individu, alam sekitar, dan masyarakat secara amnya. Lihat apa yang berlaku hari ini apabila sains dan teknologi terbabas daripada nilai-nilai amanah dan agama. Sebagai contoh, bidang bioteknologi melahirkan satu konsep baru yang dikenali sebagai kejuruteraan genetik. Teknologi ini mampu memindahkan bahan genetik yang bernama DNA daripada satu spesies ke satu spesies yang lain. Walau bagaimanapun, untuk berjaya, proses ini memerlukan bantuan virus tertentu supaya DNA daripada spesies berbeza dapat mengenali antara satu sama lain. Penggunaan kuman-kuman virys ini akhirnya menyebabkan kelahiran pelbagai kuman serta penyakit baru yang mampu membunuh manusia. Mengikut Dr. Mae-Wan Ho, pengarah Bioelectrodynamics Laboratory di Open University, United Kingdom, kejuruteraan genetik menyebabkan wabak kolera menyerang India pada tahun 1992 , wabak kuman streptococcus di Tayside pada tahun 1993 dan wabak kuman E.Coli 157 di Scotland.

Justeru, kepatuhan kepada syariat adalah penting supaya sains tidak terbabas daripada landasan kebenaran dan kesejahteraan.

-sumber daripada buku Quran Saintik, Dr Danial Zainal Abidin.

No comments:

Post a Comment