Thursday, March 3, 2011

Bahaya Stunning

Mengikut kajian terkini yang dilakukan oleh Texas A&M University dan Canada's Food Inspection Agency, penggunaan pistol bagi menembak besi ke kepala haiwan diikuti dengan tindakan mengenakan kepada otak itu tekanan setinngi 150 paun, menyebabkan otak haiwan pecah berkecai dalam badan. Mengikut Leila Corcoran dalam artikelnya Cattle Stun Gun May Heighten Mad Cow Risk yang dilaporkan dalam Reuters News Service bertarikh 25 Julai 1997, keadaan otak yang berkecai ini menjadi penyebab kepada serangan penyakit lembu gila yang sering berlaku pada hari ini.

Berhubung dengan ini Dr Abdul Majid Katme dalam pembentangannya berkata, "Mengikut laporan daripada Lawton pada tahun 1971, terdapat haiwan yang mati selepas ditembak. Ujian yang dilakukan oleh Temple Grandin pada tahun 1980 menunjukkan tembakan menggunakan CBP yang menusuk ke dalam otak sebenarnya pembunuh haiwan itu. Maple pula mengatakan pada tahun 1977, CBP perlu dihentikan kerana perbuatan itu menjejaskan kualiti daging haiwan."

Di samping CBP, sebahagian haiwan dikenakan kejutan elektrik ke dalam otak melalui alat tertentu yang dipasang di kiri kanan kepala haiwan. Namun pendekatan ini mempunyai kontroversinya. Mengikut The Royal Society for the Prevention of Cruelty to Animals, "Terdapat bukti-bukti sains yang menunjukkan haiwan yang dikenakan kejutan elektrik ini sedar semula sebelum sembelihan dilakukan."

Berhubung dengan ini, Dr Abdul Majid Katme dalam pembentangannya di Zoological Society of London, Regent's Park, berkata "E.H Callow dalam bukunya Food Hygiene mengatakan haiwan yang dikenakan kejutan elektrik mengalami kelumpuhan tetapi masih sedar dan boleh mengalami kesakitan. Pandangan seperti ini dikongsi oleh Prof. A.C Ivey dari North Western University di America, Prof. M.J Hertz dari Perancis, Prof. Roos dan Koopmans dari Belanda. Mengikut Blackmore pada tahun 1982, perbuatan mengenakan kejutan elektrik secara langsung melalui kepala haiwan adalah satu perbuatan yang kejam."

Sesetengah haiwan pula, seperti itik, ayam dan angsa, dikenakan kejutan elektrik dalam tangki air. Bagi tujuan ini, mengikut laporan yang dibuat oleh FAWC pada tahun 1982, haiwan-haiwan ini digantung melalui kakinya dan kemudiannya kepalanya dicelup ke dalam air bagi menerima kejutan elektrik. Berdasarkan kajian yang dibuat oleh FAWC, satu pertiga daripada haiwan ini mati selepas menerima kejutan dan sepertiga yang lain masih sedar dan merasai kesakitan.

Mengikut Rebecca Smith dalam artikel Sentenced to Death, yang dilaporkan dalam laman web rasmi Vegetarians International Voice for Animals di viva.org.uk, setiap tahun 900 juta binatang ternakan disembelih untuk dimakan di UK. Beliau menjelaskan, undang-undang UK menuntut supaya setiap haiwan melalui satu prosedur yang menyebabkan haiwan pengsan terlebih dahulu sebelum sembelihan dilakukan. Namun, kata Rebecca Smith, "Kami menganalisis kajian-kajian saintifik yang terkini serta mendapat pendapat pelbagai pakar berhubung perkara ini dan kami mendapati apa yang sebenarnya berlaku membimbangkan. Sebenarnya, pendekatan yang dilakukan adalah tidak efektif menyebabkan puluhan juta haiwan berda dalam keadaan sedar semasa sembelihan dilakukan. Setiap tahun lebih kurang 1.8 juta khinzir dan 5 juta kambing biri-biri yang dikenakan kejutan elektrik sedar semula semasa penyembelihan dilakukan. Tambahan itu, terdapat kajian yang menunjukkan penggunaan kejutan elektrik memang tidak berkesan bagi menyebabkan haiwan pengsan. Mengikut seorang pakar, Dr Harold Hillman, haiwan sebenarnya berasa sakit semasa kejutan elektrik dikenakan dan baginya ini merupakan satu bentuk penyeksaan. Berhubung dengan penggunaan pistol berpeluru seperti pengancing besi, setiap tahun penggunaan teknik yang salah menyebabkan 230,000 kambing terpaksa menanggung kesakitan selepas tembakan dilakukan di kepala. Kadangkala tembakan yang kedua terpaksa dilakukan disebabkan tembakan petama gagal menyebabkan kambing-kambing itu pengsan. Kajian juga menunjukkan penggunaan kejutan elektrik melalui tangki air ke atas itik, ayam, ayam belanda dan angsa juga tidak mencapai matlamat yang dkehendaki. Lebih kurang 62 juta daripada binatang ternakan ini sedar semula semasa penyembelihan dilakukan."

Justeru, tidak dapat dinafikan cara penyembelihan Islam jelas berperikemanusiaan lagi saintifik berbanding dengan cara yang lain.

-sumber daripada buku Quran Saintifik, Dr Danial Zainal Abidin.

No comments:

Post a Comment