Saturday, March 5, 2011

Khasiat Buah Tamar

Buah tamar merupakan antara buah yang kaya dengan pelbagai khasiat. Buah tamar adalah makanan yang penting bagi nabi dan keluarga baginda. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim, Aisyah berkata, "Ada ketikanya dapur rumah kami tidak berasap selama sebulan. Yang ada (untuk dijadikan makanan) hanyalah buah tamar dan air. Melainkan kadangkala diberikan kepada kami sedikit daging."

Dalam riwayat lain Bukhari dan Muslim meriwayatkan, Abdullah bin Jaafar berkata, "Saya melihat Rasulullah memakan tamar basah dan sayur dari jenis mentimun."

Pada bulan ramadan umat Islam digalakkan berbuka puasa dengan buah tamar. Abu Daud, Tirmizi, Ahmad dan Ibnu Majah meriwayatkan kata nabi yang bermaksud, "Apabila seseorang berbuka puasa, berbukalah dengan buah tamar. Apabila dia tidak memperoleh buah tamar, berbukalah dengan air kerana air itu pembersih."

Mengikut satu kajian yang dilakukan oleh al-Shahib, w and Marshall, RJ bertajuk The Fruit Of The Date Palm: Its Possible Use As The Best Food For The Future, buah tamar boleh menjadi makanan yang ideal pada masa depan. Buah tamar mengandugi 15 jenis garam dan mineral, kaya dengan vitamin, mempunyaikadar karbohidrat yang tinggi iaitu 44-88%,  kadar serat antara 6.4-11.5%, kadar protein antara 2.3-5.6%, kadar lemak antara 0.2-0.5% dan minyak antara 0.2-0.5%. Protein buah tamar dibina daripada 23 jenis asid amino, sebahagiannya tidak ditemui dalam buah-buahan yang popular seperti oren, epal dan pisang. Antara mineral yang terdapat dalam tamar ialah kalium (potassium), boron, kalsium, kobalt, besi, magnesium, mengenes, fosforus, natrium (sodium), zink dan fluorin. Fluorin ialah mineral yang membantu meningkatkan kesihatan gigi. Di samping itu, buah tamar juga mengandungi selenium, sejenis bahan yang diperlukan oleh sistem pertahanan badan, yang mampu mencegah kanser. Berhubung dengan vitamin, antara vitamin yang terdapat dalam buah tamar adalah vitamin C, B1, B2, asid nikotinik dan vitamin A. Justeru buah tamar dapat dianggap sebagai makanan yang ideal kerana mengandungi pelbagai khasiat yang bermanfaat untuk kesihatan manusia. Penemuan ini dilaporkan dalam International Journal of Food and Science Nutrition, 54(4): 247-259.

Di laman web Pertubuhan Pemakanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu, bawah tajuk Origin,Geographical Distribution And Nutritional Values of Date Palm oleh A.Zaid dan P.F de Wet, dilaporkan pula bahawa buah tamar merupakan makanan yang amat berkhasiat. Mengikut Genske dan Weers (1973), satu kilogram isi buah tamar (contohnya daripada jenis Deglet Noor), mengandungi 220 gm air, 730 gm bersamaan dengan 2740 kalori gula, 22 gm protein, 2 gm lemak, 19 gm zat-zat logam, 6480 mg kalium, 630 mg fosforus, 590 mg kalsium, 580 mg magnesium, 30 mg zat besi, 10 mg natrium, 500 unit vitamin A, 0.9 mg vitamin B1, 1 mg vitamin b2 dan 22 mg vitamin B7. Di samping itu, buah tamar juga mengandungi silikon, klorin dan sulfur dengan kadar yang sederhana,

Gula yang terdapat dalam buah tamar kebanyakannya adalah daripada kumpulan glukosa dan fruktosa. Gula daripada kumpulan ini dikenali sebagai invert sugars dan antara kelebihannya ialah diserap masuk ke dalam badan dengan segera tanpa melalui proses penghadaman seperti mana yang terpaksa dilalui oleh jenis gula yang lain. Tambahan pula, kadar magnesiumnya yang tinggi mampu mencegah kanser justeru pakar-pakar mendapati penduduk-penduduk di kawasan Sahara jarang menghidap kanser kerana mereka banyak memakan buah tamar. Fakta-fakta ini dilaporkan di http://www.fao.org/.

-sumber daripada buku Quran Saintifik, Dr Danial Zainal Abidin.

No comments:

Post a Comment