Islam adalah agama yang lengkap lagi komprehensif. Konsep kesempurnaan ini dikenali sebagai syumuliyah dalam Islam. Hal ini dinyatakan Allah dalam surah al-Maidah ayat 3 "Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmatKu dan telah Aku redhai Islam itu menjadi agama bagi kamu.
Berhubung dengan perkara ini, Imam Ibn Kathir dalam Tafsir Al-Quran Al-Azim berkata, "Ini adalah nikmat paling agung yang dikurniakan Allah kepada umat ini. Apabila Allah menyempurnakan agama ini, umat Islam tidak memerlukan agama lain selain Islam dan mereka juga tidak memerlukan nabi lain (selepas Nabi Muhammad S.A.W)."
Bagi memperincikan lagi konsep ini, dalam Usul 20 Imam Hasan Al-Banna berkata, "Ajaran Islam adalah menyeluruh mencakupi kesemua bidang kehidupan. Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan umat. Hal ini adalah pengetahuan dan undang-undang ataupun ilmu dan kehakiman. Islam juga menekankan aspek kebendaan dan harta ataupun usaha dan kekayaan. Di samping itu, Islam mementingkan jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Islam adalah akidah yang benar dan ibadah yang sah."
Oleh sebab Islam sudah lengkap dan sempurna, Islam tidak menerima sebarang campur aduk dengan sebarang ideologi dan falsafah. Inilah yang Allah maksudkan dalam perintahNya yang terdapat dalam surah al-Baqarah ayat 42 "Dan janganlah kamu mencampur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedangkan kamu mengetahuinya"
Berhubung dengan ini, Imam Qatadah menegaskan, "Janganlah kamu campur adukkan ajaran Islam dengan ajaran Yahudi dan Nasrani sedangkan kamu mengetahui agama yang diterima Allah hanyalah agama Islam."
No comments:
Post a Comment