Sunday, January 23, 2011

Quran dan Teori Kejadian Alam

Alam semesta mempunyai permulaannya. Dalam surah Al-Anbiyak ayat 30 Allah berfirman "Apakah orang-orang kafir itu tidak mengetahui langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu kemudian Kami pisahkan antara keduanya. Dan daripada air kami jadikan segala sesuatu yang hidup".

Ayat ini menjelaskan tentang dua perkara penting. Pertama, tentang asal usul kejadian langit dan bumi yang pada asalnya bercantum padu sebelum dipisahkan antara kedua-duanya. Kedua, ayat ini menjelaskan tentang hakikat kehidupan air adalah asas bagi segala kehidupan. Tanpanya hidupan tidak akan wujud sama sekali.

Terdapat dua perkataan dalam ayat ini yang perlu diberikan keutamaan iaitu ratqa dan fataq. Ratqa berasal daripada perkataan Arab rataqa yang bermaksud ditampal dan dijahit. Hal ini melambangkan sesuatu yang terhimpun, melekat, dan menguncup.

Fataq pula berasal daripada perkataan Arab fataqa yang bermaksud dibuka, dibelah, dan dikoyak. Hal ini melambangkan sesuatu yang terbuka, terungkai, dan mengembang.

Berhubung dengan ayat ini, Imam Said bin Jubair berkata, "Langit dan bumi sebelum ini melekat antara satu sama lain. Apabila langit ditinggikan dan dengan itu zahirlah bumi maka berlakulah pemisahan dan itulahyang dimaksudkan Allah dalam ayat ini."

Tafsiran oleh Imam Said bin Jubair ini yang dinyatakan lebih daripada 1000 tahun lalu mengagumkan. Berhubung dengan tafsiran ini, Syeikh Said Hawa berkata dalam Al-Asas fi Al-Tafsir "Tafsiran yang dibuat, sebagai contohnya oleh Imam Said bin Jubair, menceritakan tentang sesuatu yang tidak diketahui melainkan baru-baru ini." Hal ini desebabkan kenyataan ini memang selari dengan penemuan sains pada hari ini berhubung kejadian alam semesta.

No comments:

Post a Comment